Nov 20, 2008

3 termasuk remaja perempuan ditahan edar dadah

KAJANG 19 Nov. - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun adalah antara tiga suspek yang ditahan kerana memiliki dan mengedar dadah di sebuah rumah di Kampung Baru, Cheras di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 4 petang itu, kesemua suspek sedang membungkus dadah ke dalam plastik kecil sebelum diberkas pihak polis.

Ketika serbuan, polis merampas lima paket heroin seberat 987 gram bernilai RM26,000.

Turut dirampas ialah sebuah kereta Proton Wira Aeroback, dua telefon bimbit dan dua buku akaun bank.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Sakaruddin Che Mood berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 16 hingga 23 tahun itu bergiat aktif sejak lapan bulan lalu.

Katanya, pihaknya percaya suspek-suspek membungkus semula dadah tersebut sebelum menjualnya kepada pembeli.

"Salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah lampau atas kesalahan yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Sakaruddin, suspek dipercayai giat menjalankan aktiviti menjual dadah di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama lapan hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan.

No comments: