IPOH 19 Nov. - Polis Perak percaya dapat menyelesaikan kes kematian seorang juruwang sambilan sebuah stesen minyak akibat ditetak oleh perompak pada 11 November lalu dengan penahanan tiga lelaki bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ketiga-tiga lelaki berumur 19 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bercham di sini pada 14 November lalu.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas sebilah parang, sebuah topi keledar dan pakaian di rumah tersebut.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 21 November ini untuk siasatan lanjut.
"Kita percaya kes pembunuhan itu dapat diselesaikan dengan penahanan tiga lelaki ini.
"Polis juga sedang menjejaki dua lagi suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam kes itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Dalam kejadian 11 November lalu, seorang kakitangan Jabatan Mufti Perak, Mohd. Khairuddin Mohamed Isa yang bekerja sebagai juruwang sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar, mati ditetak oleh perompak dalam kejadian samun pada pukul 6.50 pagi.
Mohd. Khairuddin, 42, atau dipanggil 'ustaz' oleh rakan setugasnya sedang bersiap mahu meninggalkan stesen minyak tersebut selepas hampir tamat waktu bekerja pada pukul 7 pagi.
Salah seorang daripada empat perompak bertindak menetak mangsa di tengkuk dan tangan kanan selepas dia enggan menyerahkan wang kutipan di stesen minyak tersebut.
Keempat-empat perompak kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta bersama wang RM1,000 yang diambil daripada kaunter juruwang.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, polis juga menyelesaikan dua lagi kes bunuh membabitkan seorang lelaki yang ditemui mati di Tanah Perkuburan Kristian di Tambun dekat sini pada 27 September lalu dan Kampar pada 21 Oktober lalu.
Menurut beliau, ini berikutan penahanan dua lelaki dan seorang wanita berumur 19 hingga 42 tahun di sini dan Kampar pada 2 hingga 4 Oktober lalu.
Beliau berkata, salah seorang suspek kes telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 15 Oktober lalu.
Dalam kes penemuan mayat seorang lelaki ditemui mati terbakar di kawasan lombong Jalan Tanjung Rengas, Batu Putih di Kampar pada 21 Oktober lalu, polis menahan dua lelaki berumur 24 dan 31 tahun di Kampar.




No comments:
Post a Comment